بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على محمد وآل محمد
‘Selawat’ (صلوات) adalah jamak dari kalimat solat bererti doa atau seruan kepada Allah SWT. Di segi bahasa pula, selawat bermaksud mendoakan
atau memohon berkat kepada Allah SWT dan melimpahkan Rahmat-Nya untuk
Nabi dengan ucapan, kenyataan dan pengharapan, semoga beliau (Nabi)
sentiasa sejahtera (beruntung, tak kurang suatu apapun, keadaannya tetap baik dan sihat).
.
Berselawat kepada Nabi Muhammad SAW juga bermaksud memperbesarkan,
mengagungkan, menambahkan kehormatan dan kepujian serta mendukung
perjuangannya yang mulia, di samping melahirkan rasa syukur sebagai
penyampai utusan-Nya yang menjadi rahmat seluruh alam, malah menambahkan
keyakinan beramal dengan sunnahnya yang diredhai Allah.
Nabi Muhammad SAW bersabda; “Doa seseorang itu akan terawang-awangan dan tidak diangkat ke langit selagi yang berdoa itu tidak berselawat kepadaku.”
.
.
Mengucap Salam Kepada Nabi
Salam pula bererti damai, sejahtera, aman sentosa dan selamat. Jadi
ketika seseorang muslim membaca selawat untuk Nabi, bermaksud ia
mendoakan Baginda SAW semoga tetap damai, sejahtera, aman sentosa dan
selalu mendapatkan keselamatan.
a. Allah SWT memberi salam kepada setiap orang yang memberi salam kepada Nabi SAW.
Rasulullah SAW telah bersabda: “Saya berjumpa Jibril, maka dia berkata: ‘Sesungguhnya saya memberi khabar gembira kepadamu bahwa sesungguhnya Allah Ta’ala telah berfirman: ‘Sesiapa
memberi salam kepadamu, maka Aku memberi salam kepadanya dan sesiapa
membaca selawat untukmu, maka Aku membaca selawat untuknya ‘.”
b. Mengucap salam kepada Nabi SAW, lebih utama daripada memerdekakan budak.
Abu Bakar As-Siddiq r.a. berkata: “Membaca
selawat untuk Nabi itu boleh menghapuskan dosa-dosa, seperti air sejuk
memadamkan api, dan salam kepada Nabi itu lebih utama daripada
memerdekakan budak”. Nabi SAW., Bersabda: “Sesiapa membaca selawat untuk ku satu kali, maka dia menjadi tidak berdosa walaupun sebesar atom dan biji sawi.”
c. Sesiapa yang membaca salam untuk Nabi
100 kali setiap hari, akan dikabulkan oleh Allah 100 hajat. 30 diberikan
di dunia dan 70 diberikan di akhirat.
Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya
Allah Ta’ala mempunyai tujuh puluh malaikat yang selalu berjalan di muka
bumi serta menyampaikan kepadaku salam dari umatku. Maka, apabila ada
seseorang dari umatku membaca selawat untukku seratus kali dalam sehari,
maka Allah Ta’ala akan akan mengabulkan seratus macam hajatnya, tujuh
puluh diberikan diakhirat dan tiga puluh di dunia.”
.
.
Keutamaan dan Kebesaran Selawat
Setiap umat Islam berkewajipan mengasihi
atau mencintai Allah SWT dan Rasulullah SAW. Bukti seseorang itu berbuat
demikian ialah dengan mengerjakan segala suruhan Allah dan meninggalkan
segala larangan-Nya. Berselawat kepada Nabi Muhammad SAW adalah salah
satu bukti kecintaan seseorang itu kepada Allah dan Rasulullah SAW.
Selawat kepada Nabi Muhammad SAW
merupakan ibadah yang mulia dan terpuji. la mengandungi berbagai-bagai
kelebihan dan keistimewaan bagi mendapatkan pertolongan dan perlindungan
dari Nabi Muhammad SAW serta memperolehi ganjaran yang besar dari Allah
di hari akhirat kelak.
“Sesiapa yang berselawat kepadaku (Muhammad SAW) satu kali saja, maka aku akan berselawat kepadanya sepuluh kali”
.
.
Hukum berselawat
Hukum berselawat kepada Nabi Muhammad SAW adalah wajib ketika:
1. Mengerjakan solat.
2. Membaca Tasyahud (tahiyyat).
3. Membaca Tasyahud kedua / tahiyyat akhir.
4. Setiap kali menyebut, mendengar atau
menulis nama Nabi Muhammad SAW, ganti namanya atau pangkat kerasulan dan
kenabian Baginda SAW.
.
.
Arahan Membaca Selawat
Dalam semua perintah mengerjakan ibadat,
Allah SWT menyuruh hamba-Nya beribadat. Allah sendiri memulakan selawat
ke atas Nabi, diikuti malaikat kemudian dianjurkan kepada Muslimin
mengamalkannya. Ini bermakna membaca selawat itu lebih utama.
.
Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya selawat kepada Nabi(1). Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya dan ucaplah salam penghormatan kepadanya(2).” (Surah Al-Ahzab: 56).
Nota; (1)
Berselawat ertinya: kalau dari Allah bererti memberi rahmat: dari
malaikat bererti meminta keampunan dan kalau dari orang-orang yang
beriman bererti berdoa supaya diberi rahmat seperti dengan perkataan:
Allahuma shalli ala Muhammad. (2) dengan mengucapkan perkataan seperti:
Assalamu’alaika ayyuhan nabi ertinya: semoga keselamatan tercurah
kepadamu hai Nabi.
.
.
Membaca Selawat
Lafaznya selawat ke atas Nabi SAW, cukup
mudah, tidak mengambil masa yang panjang. Sebagai tanda kasihnya Allah
kepada umatnya supaya mampu mengerjakan amal mulia dan memperoleh
ganjaran daripadanya.
1. Membaca Selawat harus disertai dengan niat dan dengan sikap hormat kepada Nabi.
Orang yang membaca selawat untuk Nabi hendaklah disertai dengan niat
dan rasa cinta kepada Nabi dengan tujuan untuk memuliakan dan
menghormati Baginda.
Dalam penjelasan hadis (akhbar
al-hadis) disebutkan bahawa apabila seseorang membaca selawat tidak
disertai dengan niat dan perasaan hormat kepada Nabi, maka timbangannya
tidak lebih, hanya berat sekadar sehelai bulu sayap.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya sahnya amal itu tergantung niatnya”.
.
Ada tiga perkara yang timbangannya tidak lebih berat dari pada selembar bulu sayap, iaitu:
- Solat yang tidak disertai dengan tunduk dan khusyuk.
- Zikir dengan tidak sedar. Allah SWT tidak akan menerima amal orang yang hatinya tidak sedar.
- Membaca Selawat untuk Nabi Muhammad SAW tidak disertai dengan niat dan rasa hormat.
Rasulullah SAW bersabda: “Dan kalau kamu membaca selawat, maka bacalah dengan penuh penghormatan untuk ku.”
.
2. Membaca selawat bertujuan untuk mencintai dan memuliakan Rasulullah SAW. Siti Aisyah ra. berkata: “Sesiapa
cinta kepada Allah Taala, maka dia banyak menyebutnya dan hasilnya
ialah Allah akan mengingati dia, juga memberi rahmat dan keampunan
kepadanya, serta memasukkannya ke syurga bersama para Nabi dan para
wali. Dan Allah memberi kehormatan juga kepadanya dengan melihat
keindahan-Nya. Dan sesiapa cinta kepada Rasulullah SAW maka hendaklah ia
banyak membaca selawat untuk Nabi SAW, dan hasilnya ialah ia akan
mendapat syafaat dan akan bersama Rasulullah SAW di syurga.”
.
Seterusnya Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa
membaca selawat untukku kerana memuliakan, maka Allah Ta’ala
menciptakan dari kalimat (selawat) itu satu malaikat yang mempunyai dua
sayap, yang satu di timur dan satu lagi di barat. Sedangkan kedua-dua
kakinya di bawah bumi sedangkan lehernya memanjang sampai ke Arasy. Allah Ta’ala berfirman kepadanya: “Bacalah
selawat untuk hamba-Ku, sebagaimana dia telah membaca selawat untuk
Nabi-Ku. Maka Malaikat pun membaca selawat untuknya sampai hari kiamat.”
.
.
Cara Membaca Selawat
Disunatkan berselawat kepada Nabi Muhammad SAW:
- Menggunakan kata-kata beradab dan sopan,
- Menzahirkan sifat kemuliaan Nabi Muhammad SAW, keagungan darjat, kehormatan dan kebaikkan budi serta jasa Rasulullah SAW.
- Paling afdal, berselawat seperti ketika tahiyyat dalam solat.
اَللَّهُمَّ صَلِّى عَلَى مُحَمَّدٍٍ، وَعَلَى آلِهِ مُحَمَّدٍٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمَ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍٍ وَعَلَى آلِهِ مُحَمَّدٍٍ كَمَا بَارِكَتْ عَلَى إِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمَ، فِى الْعَالَمِيْنَ إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْد
Ya Allah! Berilah shalawat
kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Dikau telah member
shalawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim, dan berilah berkat kepada
Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Dikau memberi berkat kepada
Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Di dalam alam semesta ini hanya Dikau
sahajalah Yang Maha Terpuji lagi Maha Mulia!
SUMBER : http://shafiqolbu.wordpress.com/selawat/
.